Peranan
Ibu Bapa Menjelang Peperiksaan
Musim peperiksaan menjelang lagi. Disaat begini ibu bapa biasanya lebih
bimbang berbanding anak-anak. Diantara ibu dan
bapa pula, ibulah yang lebih gemuruh
berbanding
bapa. Sebagai seorang bapa, saya memahami perasaan dan tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa. Memang
pengalaman mendidik anak orang dengan mendidik anak sendiri cukup berbeza.
Jangan pula kerana tekanan yang kita rasakan dan harapan yang kita letakkan
terhadap seorang anak, membuatkan kita kelam kabut hingga lupa apa yang
patut
dilakukan disaat menjelangnya peperiksaan. Salah pendekatan kita maka anak
yang akan menerima akibatnya kelak hingga tanpa disedari menjejaskan prestasi
peperiksaannya.
Sebagaimana tahun-tahun yang lalu ada kalangan murid-murid yang menghadapi
tekanan tahun ini berlaku juga . Terdapat murid-murid yang mengalaminya disaat
UPSR hampir tidak berapa hari lagi . Murid-murid ini perlu ditenangkan supaya
tidak menjejaskan peperiksaan mereka nanti. Masalah sebegini janganlah
dipandangan ringan kerana ia akan menjejaskan pencapai mereka dan juga
pencapaian keseluruhan sekolah nanti. Oleh itu, para pentadbir, guru-guru serta
ibu bapa perlu segera menangani masalah psikologi murid-murid ini dengan
kaedah-kaedah yang sewajarnya.
1. Fahami
Tekanan Yang Dihadapi Oleh Anak
Bukan sahaja ibu bapa yang bimbang,
anak-anak juga sebenarnya bimbang. Mungkin
ada diantara mereka tidak begitu
menunjukkan kebimbangan tetapi ia dapat dilihat
dari segi perubahan sikap dan tingkah
laku mereka. Ada anak-anak yang rungsing lalu
tidak berselera makan tetapi ada pula
yang menjadi terlalu kuat makan. Ada yang
tidak boleh tidur tetapi ada pula yang
semakin kuat tidurnya. Ada yang murung,
marah-marah, sensitif dan sebagainya.
Sememangnya perasaan bimbang boleh
menyebabkan berlakunya perubahan sikap
dan tingkah laku ini. Sebagai ibu bapa, kita
mesti peka terhadap perubahan ini dan
cuba sedaya upaya mengurangkan tekanan
tersebut dengan lebih memahami mereka.
Katakan kepada mereka dengan jelas
bahawa apa yang kita harapkan dari
mereka hanyalah melakukan yang terbaik
mengikut kemampuan diri mereka.
Jelaskan kepada mereka kecemerlangan akademik
bukan hanya satu-satunya syarat untuk
mereka hidup cemerlang di dunia Allah ini.
Apabila tinggal beberapa hari lagi
untuk menghadapi peperiksaan, elakkan dari
menyuruh mereka menjawab terlalu banyak
soalan-soalan yang mereka tidak ketahui
penyelesaiannya kerana ini akan
membuatkan mereka rasa tidak bersedia. Keyakinan
diri mereka akan tergugat dan ini akan
menjejaskan prestasi mereka dalam menjawab
soalan-soalan yang mereka sedia
ketahui. Adalah lebih baik ibu bapa diam tanpa memberikan sebarang komen
apabila didapati perasaan anak terlalu tertekan hingga ada ketikanya dia
memberontak lalu meluahkan perasaan dengan mengatakan yang dia pasti gagal.
Perhatikan sahaja gelagat anak sebab biasanya luahan perasaan itu bukanlah
luahan yang sebenar. Selepas itu, ajak anak melakukan aktiviti yang menyeronokkan
tanpa perlu keluar dari rumah. Misalnya, adakan masa untuk menonton cerita
jenaka seketika. Berhibur dan bergelak ketawalah sekeluarga. Ini akan
membuatkan perasaan tegang dalam diri anak mengendur dan dia kini bersedia
untuk kembali belajar semula. Ketika ini, tanamkan keyakinan dalam diri mereka
semula. Rancang bersama jadual ulangkaji mereka.
2. Tingkatkan
Keyakinan Diri Anak
Keyakinan diri
yang tidak mantap sering menghantui jiwa anak-anak. Ada diantara
mereka yang
memang telah membuat ulangkaji sejak awal lagi tetapi tetap rasa tidak
yakin pada diri
sendiri. Sebagai ibu bapa kita perlu tahu bahawa keyakinan itu
datangnya dari
persediaan. Semakin bersedia anak kita maka semakin yakinlah
mereka.
Persediaan ini pula bukan sekadar membaca, menghafal dan menyediakan
nota
semata-mata. Persediaan ini mestilah merangkumi aspek menerima (input) dan
mengeluarkan
(output) maklumat. Proses mendapat maklumat termasuklah membaca, membuat nota
ringkas, menghafal, bertanya, dan mengetahui teknik menjawab soalan-soalan.
Proses mengeluarkan maklumat pula ialah menjawab soalan-soalan seperti membuat
latihan, latih tubi dan simulasi dengan menggunakan segala pengetahuan yang
telah diperolehi dalam proses mendapat maklumat itu tadi. Galakkan anak
menjawab sebanyak mungkin soalan agar mendapat pengalaman. Lebihkan proses
latih tubi untuk mana-mana topik yang agak lemah atau bentuk soalan yang kurang
dikuasai. Seterusnya,
perhebatkan
simulasi iaitu menjawab soalan-soalan tahun lepas serta soalan-soalan
ramalan mengikut
masa yang telah ditetapkan. Lakukan proses simulasi ini seolah-olah
dia benar-benar
berada dalam dewan peperiksaan yang sebenar.
3. Dorong Anak
Secara Positif
Ibu bapa
hendaklah sering memberikan harapan kepada anak dengan melontarkan
kata-kata yang
positif. Apakah kata-kata positif? Kata-kata positif adalah kata-kata
yang apabila
diucapkan akan menghasilkan gambaran minda yang juga positif.
Misalnya:
bukan
"Jangan buang masa".... tapi ucapkanlah "Manfaatkan masa",
bukan
"Jangan berputus asa"... tapi ucapkanlah "Berusahalah dengan
lebih gigih lagi"
atau "Mak
percaya adik pasti BOLEH
bukan
"Jangan kelam kabut".. tapi ucapkanlah "Banyakkanlah
bertenang",
bukan
"Elakkan kecuaian".. tapi ucapkanlah "Tingkatkan ketelitian dan
lebih
berhati-hati", Malah banyak lagi contoh-contoh yang boleh diberikan.
4. Kerjasama
Sepenuhnya
Apabila seorang
anak bakal menduduki peperiksaan penting maka keseluruhan ahli
keluarga yang
ada dalam rumah hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya.
Antaranya,
hormati waktu ulangkaji anak itu dengan setiap ahli keluarga menjadikan
waktu itu
sebagai waktu belajar. Misalnya ibu bapa boleh manfaatkan waktu itu untuk
membaca
bahan-bahan yang berfaedah. Adik kecil pula diberikan kertas dan pensil
untuk menconteng.
Datuk dan nenek, kalau tinggal dirumah yang sama, gunakanlah
waktu itu untuk membaca al-quran. Begitulah juga
dengan yang lain-lain. Pastikan
tidak seorang
pun daripada ahli keluarga yang menonton TV, mendengar radio,
sembang-sembang
kosong, bermain-main dan sebagainya sedangkan ada anak yang
sedang
bertungkus lumus menghadapi pelajarannya. Dengan cara ini anak akan
dapat rasakan
bahawa perjuangannya dihargai.
5. Kurangkan
Aktiviti Luar
Elakkanlah dari
terlalu banyak membuang masa dengan aktiviti diluar seperti keluar
membeli belah,
makan di luar, balik kampung, menziarahi saudara mara dan
sebagainya.
Ingatlah setiap minit itu amat berharga untuk anak oleh itu pastikanlah
setiap aktiviti
yang dirancang menyumbang kepada persediaannya untuk menghadapi
peperiksaan
sama ada persediaan mental, emosi, fizikal atau rohani anak-anak.
Tambahan pula,
kekerapan berada di luar rumah hanya mendedahkan mereka
terhadap
perkara yang tidak diingini sama ada dari segi kesihatan atau keselamatan.
6. Elakkan Anak
Dari Tidur Lewat
Ada yang suka
belajar hingga lewat malam untuk menghabiskan ulangkaji mereka.
Jangan biarkan
keadaan sebegini berlarutan. Pastikan anak anda masuk tidur awal
dan bangun
awal. Galakkan mereka membuat sedikit ulangkaji diwaktu awal pagi
walaupun hanya
untuk dua puluh atau tiga puluh minit. Diwaktu ini fikiran mereka
tenang, emosi
belum terganggu dan suasana pula nyaman. Banyak maklumat yang
dibaca ketika
ini akan diingat untuk tempoh masa yang lebih lama.
7. Berikan Anak
Pelepasan Tugas Harian
Berikanlah anak
anda layanan yang istimewa kerana menjelangnya peperiksaan.
Berikan dia
bebas dari melakukan tugas harian yang sememangnya menjadi rutin
hariannya
seperti mengemas bilik, menolong emak di dapur, membersih halaman
rumah, mencuci
pakaian dan sebagainya. Agihkan sementara tugas-tugas ini kepada
orang lain
seperti kakak, abang, adik atau ibu bapa sendiri. Dengan cara ini anak
yang akan
menduduki peperiksaan dapat merasakan bahawa seluruh ahli keluarga
memang
benar-benar mahu lihat dia cemerlang. Dia akan rasa bersalah kiranya waktu
yang
diperuntukkan untuk belajar tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya sedangkan semua
orang telah
memberikan kerjasama. Dia juga akan sentiasa mengharapkan suasana
peperiksaan
sebegini datang lagi kerana seronok mendapat pelepasan tugas. Anak-
anak yang lain
tidak ada sebab untuk cemburu sebab apabila tiba masa mereka maka
mereka juga
akan dilayan dengan cara yang serupa.
8. Nyatakan
Ganjaran Dengan Jelas
Jangan biarkan
anak anda berteka teki terhadap ganjaran yang bakal dia terima
sekiranya dia
memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Nyatakan
dengan jelas
bentuk ganjaran yang mahu diberikan kepadanya. Kalau ia berbentuk
kebendaan maka
nyatakan dengan jelas. Tunjukkan gambar tentang apa yang mahu
anda berikan
padanya. Kalau ia suatu percutian, beritahu destinasi yang akan
dilawati.
Dapatkan juga risalah tentang destinasi tersebut dan tunjukkan padanya.
Ganjaran yang
kabur atau samar-samar tidak akan merangsang jiwa. Misalnya,
elakkan dari
berkata, "Kalau abang cemerlang dalam UPSR maka emak akan bawa
abang
melancong", sebaliknya hendaklah kita berkata, "Kalau abang cemerlang
dalam UPSR emak
pasti bawa abang ke Langkawi, insyaAllah". Pastikan apa jua ganjaran yang
mahu diberikan anda mampu menunaikannya. Kalau tidak anak akan hilang
kepercayaan terhadap kita sebagai ibu bapa dan lain kali janji kita tidak
diambil kisah lagi. Ganjaran juga usahanya bukan sekadar hasil atau
pencapaiannya. kalau kita tahu anak telah berusaha bersungguh-sungguh untuk
mencapai kejayaan tetapi keputusan
peperiksaan
tidak seperti yang dimahukan maka berikanlah dia sesuatu sebagai
menghargai
penat lelahnya itu.
9. Ambil Cuti
Inilah masanya
untuk ibu bapa berikan dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada
anak yang bakal
menduduki peperiksaan. Ambillah cuti beberapa hari dan usahakan
untuk hantar
sendiri anak ke sekolah pada hari peperiksaan tersebut. Sepanjang
perjalanan
terus berikan kata-kata perangsang dan nasihat kepadanya. Ingatkan anak
sekali lagi
bahawa kita tidak pentingkan apa sekalipun hasil yang dia perolehi, yang
penting dia
telah pun memberikan usaha yang terbaik. Apa sahaja keputusannya kita
terima dan
bersyukur.
10. Banyakkan
Berdoa dan Solat hajat
Tidak ada
sesuatu yang lebih bermakna untuk seorang anak ketika menduduki
peperiksaan
selain daripada doa dan restu dari kedua ibu bapanya. Oleh itu, inilah
masanya untuk
kita luangkan lebih banyak masa berdoa untuknya agar
dipermudahkan
urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan
diterangkan
hati. Berdoalah dengan suara yang jelas agar didengar oleh anak dan
biarlah dia
aminkan doa kita itu. Biar anak menyedari yang kita sering membuat solat
hajat dan
berdoa untuknya. Dengan cara ini mereka akan lebih menghargainya.
Semoga petua
keibubapaan yang telah diberikan dapat membantu ibu bapa untuk menjadi
lebih
cemerlang. Ingatlah, anak-anak adalah waris generasi kita maka terimalah mereka
seadanya. Yang penting mereka lakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri
mereka sendiri.